Monday 3 September 2012

ISU INTEGRASI NASIONAL & PERPADUAN KAUM





Integrasi antara kaum merupakan isu yang amat diberi perhatian oleh pihak kerajaan ketika menggubal dasar pendidikan selepas negara mencapai kemerdekaannya. Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menggariskan dengan jelas dasar yang berkaitan dengan nilai-nilai integrasi antara kaum ini. Faktor utama yang menjadi tunjang ke arah pembentukan sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaannya ialah perpaduan. Oleh hal yang demikian, matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi,bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.
Isu integrasi nasional merupakan salah satu daripada cabaran penting dalam negara kita. Oleh hal yang demikian, cara yang paling berkesan untuk menanganinya adalah melalui peranan guru di sekolah. Integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, status sosial dan budaya untuk membentuk satu entiti yang mempunyai pegangan norma, sistem nilai serta mengamalkan kehidupan bersama. Penyatuan ini pada akhirnya akan mewujudkan perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di sesebuah negara. Integrasi nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat di setiap negeri di Malaysia khususnya antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang bertujuan membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan PerlembagaanPersekutuan dan Rukun Negara.
Usaha membentuk satu bangsa Malaysia amat mencabar kerana selepas kemerdekaan, masalah perkauman tetap merupakan satu isu yang serius dan perlu diambil perhatian. Malaysia yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum pernah menghadapi masalah dan konflik kaum, khasnya peristiwa 13 Mei 1969. Walaupun hampir lima puluh lima tahun Malaysia merdeka, penduduk berbilang kaum masih melalui pelbagai liku peristiwa pasang surut, pahit dan manis. Namun begitu, rakyat dengan latar belakang budaya, agama, bahasa dan asal keturunan yang berbeza akan terus bergerak maju mengharungi pelbagai cabaran dan halangan dalam perhubungan sosial bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni,damai dan selamat.   
Antara peristiwa yang tercetusnya ketegangan kaum adalah peristiwa 13 Mei 1969 dan peristiwa Kampung Medan yang berlaku 12 Mac 2001. Dalam pada itu, wujud juga prasangka, amalan diskriminasi dan sikap prejudis dalam kalangan kumpulan etnik yang boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kumpulan etnik tertentu. Tambahan pula, isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi nasional yang sentiasa menjadi topik hangat adalah tindakan kerajaan membantu kaum bumiputera dalam bidang sosioekonomi dilihat sebagai diskriminasi oleh kaum-kaum lain. Topik lain iaitu kurangnya sensitiviti dan toleransi terhadap agama-agama lain, kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, peningkatan kes-kes gejala sosial yang dapat menjejaskan proses integrasi, pembangunan ekonomi yang tidak seimbang, fahaman politik yang melampau dan peranan media massa yang mensensasikan isu-isu perpaduan.
Justeru, banyak usaha telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah dan pihak sekolah untuk memupuk integrasi nasional dan seterusnya membentuk satu bangsa Malaysia. Usaha Malaysia untuk membentuk negara bangsa telah dinyatakan dalam wawasan 2020. Menjelang tahun 2020, Malaysia harus menjadi Negara yang bersatu padu, mempunyai masyarakat yang berkeyakinan, nilai moral dan etika yang kukuh, hidup secara demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil serta mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang berdaya saing.
Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sebuah Negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Pembinaan negara bangsa menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membuka peluang kepada pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga sistem nilai dan kepercayaan tanpa batasan memberikan cabaran kepada negara kita yang berusaha membentuk satu identiti terunggul untuk masyarakat kita.
Guru sememangnya dianggap sebagai pembina negara bangsa kerana gurulah yang dapat membangunkan modal insane dan memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat seterusnya menjadi warganegara glokal yang mampu bersaing dengan dunia luar. Guru dengan kecekapannya melalui system pendidikan berupaya membina sebuah negara bangsa yang berjaya.  Guru harus menggalakkan pengguanaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan menjadikan bahasa ini sebagai bahasa perpaduan. Guru bukan sahaja harus berusaha menanam rasa cinta kepada bahasa Malaysia dalam diri murid-murid tetapi turut juga mencintai bahasa tersebut.
Dalam usaha memantapkan perpaduan dan integrasi nasional, KPM telah memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Rancangan ini bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid serta warga sekolah dalam aktiviti sekolah. Rasional aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah bertujuan untuk  mewujudkan sikap kerjasama, tolong menolong, mewujudkan suasana muhibbah dan hormat-menghormati, melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagai kaum di sekolah dan berkongsi kemudahan peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan khas secara bersama-sama. Selain itu, semangat patriotisme secara berterusan dalam kalangan pelajar dapat dipupuk oleh para guru melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena bulan kemerdekaan misalnya. Semua aktiviti yang dianjurkan bertujuan menanam rasa cinta kepada Negara, memupuk semangat perpaduan dan semangat hormat menghormati serta peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dalam kalangan pelajar. Di samping itu, penerapan sikap dan nilai-nilai yang murni dapat mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dalam kalangan pelajar yang berbilang bangsa.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak merupakan konsep yang selari dengan apa jua yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-prinsip Rukun Negara. Menurut penjelasan YAB Dato’Sri Mohd Najib, konsep 1 Malaysia adalah seperti berikut:
“kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia ( one people) dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan krhrndak semua kumpulan etnik dalam negara kita.”
Ini bermaksud rakyat pelbagai kaum dan agama harus berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing, bukan bertindak atas kepentingan kaum sendiri serta kepimpinan Negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia. Konsep 1 Malaysia membawa aspirasi dan harapan untuk mengeratkan hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang erat. Konsep ini merupakan pemangkin untuk mewujudkan dan membina sebuah Negara bangsa yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Antara nilai asas yang terdapat dalam semangat perpaduan terdiri daripada perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.



Dimanakah peranan guru dalam menyatu padukan anak bangsa?



Sumber: Buku Siri Pendidikan Guru "Guru dan Cabaran Semasa" oleh, Noriati A.Rashid et al. 

2 comments:

  1. Pendidikan merupakan nilai yang penting serta prasyarat untuk kejayaan sesebuah negara. Maka rakyat Malaysia harus berpengetahuan dan kurikulum yang dibina seharusnya dapat menanamkan nilai-nilai murni yang dapat menyatupadukan semua kaum serta memberikan peluang kepada mereka berinteraksi walaupun dalam aliran pendidikan yang berlainan.

    ReplyDelete
  2. setuju dengan saudari wardina...kita sebagai rakyat malaysia haruslah menanam nilai-nilai murni dalam diri kita ..apatah lagi sebagai seorang pendidik yang sememangnya akan menjadi role model kepada anak-anak murid kita ..baru lah perpaduan dapat terapkan dalam diri masing-masing

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi ..